Laman Utama Berita Aktiviti LAPORAN LAWATAN ILMIAH KE INDONESIA
LAPORAN LAWATAN ILMIAH KE INDONESIA PDF Cetak E-mail
Ditulis oleh Admin   
Ahad, 11 Januari 2009 23:28

 


KUMPULAN PEMBINAAN TEORI DAN EPISTEMOLOGI ALAM MELAYU, ATMA

 

12-21 Disember 2008

 Latar Belakang

Program lawatan ilmiah ini adalah sebahagian daripada projek penyelidikan GUP Kumpulan Pembinaan Teori dan Epistemologi Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Lawatan ilmiah dilaksanakan dalam bentuk seminar, ceramah, dialog dan diskusi dengan para ilmuwan, ahli akademik dan pelajar-pelajar di beberapa universiti di Indonesia. Tema yang diwacanakan pada kali ini adalah ”Dewesternisasi dan Islamisasi Ilmu Pengetahuan Kontemporari”. Kumpulan yang diketuai oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nor ini sedang melaksanakan penyelidikan GUP (Geran Universiti Penyelidikan) tentang “Unsur-unsur Rasional dan Saintifik dalam Pemikiran Melayu”. Selain dari itu antara tujuan utama lawatan ini juga adalah memperolehi manuskrip yang sedang dikaji oleh kumpulan ini iaitu karya-karya utama dalam pemikiran dan epistemologi alam Melayu yang awal. Kajian perpustakaan dilakukan di perpustakaan Nasional Republik Indonesia. Sejumlah karya-karya ilmiah penting juga sempat dibeli dari beberapa toko buku di Bandung dan Jakarta.

 

 

Lawatan ini disertai oleh dua penyelidik ATMA: Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud dan Dr. Khalif Muammar A. Harris. Beberapa acara seminar, ceramah dan dialog telah dibuat untuk menyambut kedatangan mereka iaitu di UMY (Universitas Muhammadiyah Yogyakarta), UGM (Universitas Gadjah Mada), UI (Universitas Indonesia), ITB (Institut Teknologi Bandung), UNPAD (Universitas Padjadjaran) dan INSISTS (Institute for the Study of Islamic Thought).

 

 Objektif Lawatan

Antara Objektif lawatan ini adalah:

1.       Memberikan kefahaman tentang keperluan kepada wacana Dewesternisasi dan Islamisasi Ilmu Pengetahuan Kontemporari.

2.       Membangkitkan kesedaran tentang Epistemologi Alam Melayu yang mandiri dan merdeka.

3.       Memperluas jaringan akademik dan penyelidikan dengan institusi-institusi antarabangsa.

4.       Mengumpulkan bahan-bahan penyelidikan yang berkaitan dengan projek penyelidikan GUP.

  

Seminar di Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY)

Seminar bertajuk Islamisasi Ilmu-ilmu Kontemporer telah diadakan pada 13 Desember 2008. Seminar ini telah dianjurkan oleh Lembaga Pengkajian dan Pengamalan Islam Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (LPPI-UMY) bekerjasama dengan Institut Pemikiran Islam Yogyakarta (IPI Jogja). Dua kertas kerja telah dibentangkan pada seminar ini dan para pembentangnya adalah Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud dan Prof. Dr. Syamsul Anwar, M.A. (Ketua Majelis Tarjih dan Tajdid PP Muhammadiyah) . Acara ini dibuka oleh Prof. Dr. Yunahar Ilyas, wakil ketua Pimpinan Pusat Muhammadiyah dan dihadiri oleh para pensyarah dari UMY dan Perguruan Tinggi lainnya. Acara ini mendapat perhatian besar, meskipun
diselenggarakan pada saat hari konvokesyen. Sekitar 70 orang menghadiri Seminar ini majoriti mereka terdiri daripada para pensyarah dan mahasiswa pasca sarjana UMY.

 

Seminar di Universitas Gadjah Mada (UGM)

Pada petang harinya di hari yang sama, Prof. Wan Mohd Nor dan Dr. Khalif Muammar mengisi acara Kuliah Umum & Dialog Ilmiah bertema "Dewesternisasi, Dekolonisasi dan Islamisasi Ilmu Pengetahuan" di Universitas Gajah Mada Yogyakarta. Acara ini dianjurkan oleh IPI (Institut Pemikiran Islam) Jogja dan HimpunanMahasiswa Muslim Pascasarjana UGM, Islamic Law Forum Fakultas Hukum UGM dan Jama'ah Shalahuddin UGM. Acara ini dihadiri oleh sekitar 250 orang yang terdiri dari para pensyarah, mahasiswa pasca sarjana dan aktivis. Diskusi dan soal jawab  juga berlangsung dengan sangat baik.

 

Lawatan ke Bandung (ITB dan UNPAD)

Pada 16 Desember 2008 Prof. Dr Wan Mohd Nor berada di Bandung memenuhi  undangan diskusi terbatas dengan dosen-dosen Fakultas Sastra Universitas Padjadjaran (UNPAD) Bandung. Kemudian pada petangnya diselenggarakan diskusi terbatas di Masjid Salman-ITB (Institut Teknologi Bandung). Prof Wan Mohd Nor beramah mesra dengan kumpulan Bang Imad (Dr. Imaduddin Abdurrahim, alm.) tokoh Salman-ITB yang dikenal memiliki semangat tinggi dalam perjuangan profesional Islam. Diskusi dihadiri oleh pensyarah-pensyarah dari ITB, Unikom, Unpad, dan juga mahasiswa dari berbagai kampus di Bandung. Pada kesempatan ini, Prof. Wan juga sempat menjelaskan gagasan Islamisasi Ilmu dan salah faham yang selama ini terjadi di berbagai negara, termasuk di Indonesia. Prof Wan sempat juga ditemu ramah dengan panjang lebar oleh seorang pemberita Harian Republika.

 

Seminar di Universitas Indonesia (UI)

Seminar di FISIP (Fakultas Ilmu Sosial dan Ilmu Politik) Universitas Indonesia, dilaksanakan pada 18 Desember 2008. Tiga kertas kerja telah dibentangkan pada seminar ini dan para pembentangnya kali ini adalah Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, Prof. Dr. Mulyadhi Kartanegara dari UIN Jakarta dan Dr.Khalif Muamar dari ATMA-UKM. Acara di UI ini dibuka oleh Prof. Dr. Maswadi Rauf, ketua Program Studi Ilmu Politik UI dan dipengerusikan oleh Prof. Dr. Ahmad Suhelmi.  Seminar ini telah dihadiri oleh lebih kurang 100 orang peserta dan sambutan ini diluar jangkaan penganjur sehingga ruang  bilik seminar menjadi sesak dan beberapa hadirin terpaksa mendengar dari luar. Puluhan peserta tidak mendapat tempat duduk kerana dewan yang kecil dan mereka sanggup berdiri untuk mengikuti perjalanan seminar. Hampir separuh peserta datang dari luar kampus khusus untuk menghadiri seminar ini.

Pada petang harinya para pembentang dibawa ke CIPSI (Center for Islamic Philosophical Studies and Information) di Jakarta. Pusat yang diketuai oleh Prof. Dr. Mulyadhi ini telah menterjemahkan karya-karya klasik filsuf Muslim seperti al-Shifa karangan Ibn Sina, Karya Ikhwan al-Sofa dsb. Dalam kesempatan ini Prof. Wan Mohd Nor melahirkan keinginan agar diwujudkan satu kerjasama antara CIPSI dan Kumpulan Pembinaan Teori dan Epistemologi Alam Melayu, ATMA untuk menterjemahkan karya yang sangat penting bagi Kumpulan ini.

Kedatangan Prof. Dr. Wan Mohd Nor telah disambut meriah oleh kalangan terpelajar di Indonesia. Beberapa program seminar dan dialog telah dibuat dengan persiapan yang sangat singkat tetapi mendapat sambutan yang luar biasa. Beberapa NGO turut meraikan kedatangan beliau dengan membawa beliau ke beberapa tempat yang tidak direncanakan sebelumnya seperti di Bandung (ITB dan UNPAD). Jelas sekali dengan lawatan Prof. Wan Mohd Nor ini nama ATMA kini harum di beberapa Institut Pendidikan Tinggi di Indonesia dan masyarakat terpelajar umumnya. Hal ini telah dirakam oleh Sdra Adian Husaini, Direktor Dewan Dakwah Indonesia dalam Catatan Akhir Pekan 251 (CAP 251) yang terbitkan dalam www. Hidayatullah.com dan dibaca di radio DEKTA Jakarta (lihat Lampiran). Malah setelah lawatan ini beberapa pelajar telah mengirim emel dan menyatakan keinginannya untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pasca siswazah di ATMA.

 

Perolehan Manuskrip

Penyelidik memperuntukkan masa dua hari untuk mencari manuskrip yang menjadi tumpuan kajian GUP kali ini. Dr. Khalif Muammar berjaya memperolehi salinan manuskrip karya Nuruddin al-Raniri yang berjudul ”Durarul Faraid” yang bertarikh 1185 H. Ia adalah antara manuskrip yang tertua dengan judul tersebut dan berada dalam kondisi yang sangat baik.  Salinan tersebut kini disimpan di pusat Sumber Kumpulan untuk tujuan penyelidikan.

 

Pembelian Buku

Pada kesempatan ini juga Prof. Dr. Wan Mohd Nor dan Dr. Khalif Muammar telah menyempatkan diri untuk mengunjungi beberapa kedai buku bagi memperolehi buku-buku yang berkaitan dengan kajian penyelidikan. Sekitar seribu ringgit telah dihabiskan untuk tujuan tersebut. Koleksi buku ini boleh didapati di Pusat Sumber Kumpulan yang sementara ini ditempatkan di bilik pejabat Prof. Dr. Wan Mohd Nor.

 

Kesimpulan

Keberhasilan lawatan ini telah melebihi jangkaan kami. Ahli kumpulan telah berjaya membentangkan kertas kerja di beberapa seminar sekaligus dan berdiskusi, berdialog dengan ahli akademik dari berbagai kepakaran. Kumpulan ini juga berjaya menganjurkan seminar bersama dengan universiti yang menjadi tuan rumah. Dan lebih dari itu perolehan manuskrip yang sangat penting juga telah dapat dilakukan untuk kepentingan kajian agar penyelidikan GUP kumpulan ini dapat diselesaikan.

 

Jadual program dan tajuk pembentangan dilampirkan. 

  

Terakhir dikemaskini ( Isnin, 12 Januari 2009 06:46 )